Penghayat kata...

Saturday, March 10, 2012

Kasidah Tersirat

Serahkan jiwa dan raga
Dalam kelambu yang hidup
Orkid kembang dalam sinar
Meski dipinta untuk redup
Mendudu hujan panas
Awan kelabu datang berambal
Dalam kasidah yang berlagu

Satu wajah dalam suram
Satu-satunya yang terang
Disuluh dari kejauhan

Dalam terang dia sembunyi
Dalam kelam dia kembali
Bawa soalan dalam jalanan

Friday, February 24, 2012

Coretan Malam

Balik birai mata
Siratan kelam berkekal malam
Menyelubung semangatnya
Memaksa nyata tiada gelora

Hujan mana yang membasah hatimu?
Kilat mana yang membakar jalanmu?
Awan mana yang menggelap mentarimu?
Dulu kau mengarang nasihat
Kini kau mengarang birat?
Apa guna kami si sahabat?

Mana pergi akar yang kukuh menjalar?
Mana pergi pohon yang tiada bergoyang?
Jangan khayal dengan realiti
Jangan tenggelam dalam fantasi
Ingatlah kembali...

*Aku tuju ni pada KAU~

Monday, February 13, 2012

Garapan realiti

Dalam nyanyian suci
Dan bawah langit merah
Aku terbang dalam kerinduan
Pada bayu ku sisipkan salam
Untuk wajah di kejauhan

Hari ini aku mungkin seorang
Semoga esok menjadi harapan
Sepi hilang dari kenyataan
Noktah bertemu dengan kerinduan
Pulang diri pada realiti

-5/2/12 Tasik Raja Lumu-

Friday, January 27, 2012

Beban Tuturnya...

Seorang berjalan sepi...
Membawa rimbun gelisah
Mengendong rasa bersalah
Tiada niat menutur kalah

Beban kata dalam bicara
Beban maksud dalam suara
Mengejar dan cuba merempuh
Longlainya sekujur tubuh

Biar tersungkur di pintu syurga
Jangan terkubur di pintu neraka
Jangan terabur atas dunia
Mengikat besar sebuah nama
Membenar dia jalan sentiasa

Monday, January 23, 2012

Aku kembali...

Rautmu berubah
Setelah setahun
Berdansa dengan dunia
Kegelisahan yang kau sorokkan
Balik birai kaca hati
Memanggil seri menghias sepi

Telah ku tinggalkan sejarah
Pada nama yang mengukir darah
Namun seketika melihat wajah
Kembali aku ke dalam parah

Dari ulas bibir yang memutar kata
Ku lihat gembira yang tiada sia
Ku temu derita balikan nyata
Dan wajah kembali menghias dunia
Dalam sedar dalam rahsia...

Sunday, January 22, 2012

Langkah bercabang

Ku runtuhkan gunung harapan
Apabila terang sebuah kenyataan
Ku ceraikan tangisan
Salam ampun kepada Tuhan

Tapi mengapa dibina balik harapan
Menyusur angin menggapai awan?
Gelombang rindu menyanyi riang
Dan celaru menjadi girang

Mahu dipatah dirobek sayang
Kerana hidup mengenal kecundang
Namun...
Akanku redah belukar setentang
Kerana sejarah jasad dan darah
Jasad jantan darah pahlawan

Friday, January 20, 2012

Menyembah ampun

Bawah cahaya terang
Terasa gelap duniaku
Terasa betapa hinanya aku
Melupakan yang pasti
Untuk jalanan fantasi

Ampunkan aku yang seketika melupakan
Hakikat sebuah kehidupan
Ampunkan aku yang karam dalam anganan
Mimpi yang belum terjadi

Kau telah membuka jalan dan ruang
Dalam gelap dan terang
Dalam tangisan dan senyuman
Ampunkan aku yang terlupa...